KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ekonomi Malaysia akan kembali pulih selepas krisis COVID-19 berakhir, namun ia dijangka mengambil masa yang lama kerana asas ekonomi negara perlu dibina semula.
Justeru itu, katanya, semua pihak dan rakyat Malaysia perlu bangkit dan bekerja lebih kuat bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dengan segera.
“Ekonomi kita akan pulih apabila kita tidak lagi tersekat dalam menjalankan kerja-kerja kerana wabak ini.
“Kita dapati tabiat-tabiat bekerja itu berkurangan dan kita perlu bangunkan diri kita sendiri untuk bekerja lebih kuat kerana dengan bekerja kuatlah kita dapat pulihkan ekonomi negara kita dengan lebih cepat,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan menerusi segmen ‘Apa Nak Tanya’ yang diadakan secara langsung (live) di laman Facebook dan Instagram @chedetofficial, hari ini.
Beliau meluangkan masa hampir sejam bagi menjawab 20 soalan termasuk isu berkaitan COVID-19 serta tips kehidupan peribadinya daripada pengikut laman media sosial beliau.
Negarawan itu juga menasihati rakyat Malaysia supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 14 April ini bagi meratakan lengkung dan memutuskan rantaian wabak tersebut.
“Berapa lama masa diambil untuk pulih, terpulang kepada kita, kalau kita ikut PKP, lebih cepat kita kembali kepada aktiviti harian kita,” kata Dr Mahathir.
Apabila ditanya mengenai impak COVID-19 terhadap ekonomi global, beliau berkata: “Dahsyat, ini sangat dahsyat.”
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pandemik itu memperlahankan akvitivi ekonomi sehingga menjejaskan kerja dan produktiviti rakyat.
“...apabila orang tidak keluar bekerja, mereka tidak produktif, tidak memberikan apa-apa, tidak membantu perniagaan dan oleh itu mereka tidak menjana kekayaan,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata industri pelancongan turut terjejas dengan larangan perjalanan dikenakan oleh banyak negara sehingga mengakibatkan pembatalan penerbangan dan tempahan hotel, justeru membawa kepada kesulitan ekonomi.
“Susulan pandemik, pelancong tidak boleh pergi ke mana-mana, Keseluruhan industri pelancongan menderita. Hotel, restoran, bekalan dan semua orang akan menderita,” katanya. – BERNAMA

Sumber Rasmi  :  BERITA HARIAN