KUALA LUMPUR: Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan tiga pertambahan kes kematian berkaitan wabak COVID-19, sehingga kini.
Peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian berikutan wabak berkenaan di Malaysia adalah 53 orang atau 1.59 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan kes kematian ke-51 (kes ke-2,561) adalah perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.
“Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac lalu dan kemudian ke Institut Jantung Negara (IJN) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.07 tengah hari semalam.
“Kes kematian ke-52 (kes ke-2,122) ialah lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun. Beliau dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 7.55 pagi.
“Kes kematian ke-53 (kes ke-2,034) adalah perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang.
“Beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 9.30 pagi,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, Dr Noor Hisham berkata 217 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif wabak berkenaan adalah sebanyak 3,333 kes.
Bersandarkan semakan, katanya, 58 daripada 217 kes baharu positif yang dicatatkan didapati berkaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling, pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.
“Selain itu, 44 kes dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjadi antara hospital COVID-19, dengan 41 kes adalah kes berkaitan madrasah tahfiz di Selangor.
“Sehingga kini, sebanyak 108 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Sebanyak 60 kes pulih dan dibenarkan keluar wad pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 827 kes atau 24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Sumber Rasmi  :  BERITA HARIAN