KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengatasi dua cabaran utama dalam mewujudkan ruang fiskal dalam jangka panjang, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia membabitkan penggunaan 'big data' yang perlu diberi perhatian di setiap kementerian dan agensi kerajaan.
"Banyak perkara kita belajar daripada suasana dan musibah yang kita hadapi pada hari ini. Sebagai kerajaan prihatin dan peduli rakyat, saya kira kita perlu mengambil iktibar daripadanya.
"Semua kementerian dan agensi perlu menggunakan 'big data' untuk menghimpunkan data tepat yang wibawa supaya kerajaan dapat menyalurkan sokongan serta bantuan kepada rakyat mengikut keperluan masing-masing," katanya pada Program Bicara Naratif siaran TV1 di sini, hari ini.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggariskan semua pihak, terutamanya penggiat sektor makanan negara perlu melakukan perubahan dalam gerak kerja sedia ada.
Beliau berkata, sektor pertanian misalnya perlu segera memperkenalkan pendekatan teknologi baharu seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.
"Jika petani dan peladang bersedia mengambil cabaran ini. Saya yakin negara bukan sahaja dapat mengeluarkan produk makanan berkualiti, tetapi mampu mengurangkan import bahan makanan.
"Kita hari ini mengimport lebih RM51 bilion setahun produk makanan kerana kurang memberikan perhatian kepada penggunaan teknologi. Apabila berlaku musibah seperti ini kita terpaksa menghadapi gangguan rantaian bekalan makanan.
"Kalau negara ada kapasiti mengeluarkan bahan ini (makanan) dengan kekuatan dan potensi rakyat kita. InsyaAllah kita dapat hadapi cabaran (ekonomi) dengan lebih baik dan berhemah," katanya.

Sumber Rasmi  :  BERITA HARIAN