Ramai mungkin tidak menjangkakan krisis wabak COVID-19 membawa ‘bencana’ lebih besar kepada ekonomi Malaysia berbanding krisis lain seperti perang dagangan China-Amerika Syarikat.
COVID-19 menjejaskan ‘kesihatan’ ekonomi negara melalui tiga saluran utama.
Pertama, sektor pelancongan dan sektor berkaitan terjejas akibat sekatan kemasukan pelancong asing dan kawalan pergerakan yang menjejaskan aktiviti pelancongan domestik.
Kedua, sektor ekonomi dalam negara terjejas akibat kesan rantaian bekalan global. Contohnya, pengeluaran sektor pembuatan automobil dan topeng muka terjejas kerana kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara terjejas akibat COVID-19 seperti China.
Sektor pengangkutan udara juga terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa mengehadkan atau memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen luar negara.
Ketiga, guna tenaga perniagaan terjejas akibat daripada pekerja yang terkena jangkitan dan juga arahan sementara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penduduk. Akibatnya, pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan berkurangan.
Kita perlu percaya setiap musibah diturunkan Allah SWT ada kebaikan di sebaliknya. Bagi penulis, krisis COVID-19 ini membuka ruang kepada reformasi ekonomi yang membabitkan isi rumah, perniagaan dan kerajaan.
Jika Februari lalu Malaysia menekan butang ‘reset’ (set semula) politik, kini tiba masanya kita menekan pula butang sama untuk ekonomi.
Di sini penulis senaraikan beberapa ruang penambahbaikan kepada isi rumah, perniagaan dan kerajaan. Ia mungkin berguna, terpulanglah kepada kita untuk menilainya.
Pertama untuk isi rumah, dalam tempoh PKP perbelanjaan tertumpu kepada perbelanjaan keperluan sahaja selain komitmen pembayaran hutang bulanan.
Kemungkinan bebanan kewangan isi rumah sebelum ini dipengaruhi sebahagian besarnya perbelanjaan kepada bukan keperluan yang terarah gaya hidup.
Kestabilan aliran tunai. Bagi sebahagian isi rumah, memiliki sumber pendapatan tambahan daripada pekerjaan tambahan mungkin perlu terutamanya yang tinggal di kawasan bandar. Ini akan membantu aliran tunai isi rumah ketika mendepani krisis ekonomi.
Menilai risiko pekerjaan. Isi rumah dapat menilai sejauh mana pekerjaan mereka terdedah risiko krisis ekonomi. Jika berisiko, mereka perlu memastikan langkah mendepani risiko diambil seperti mencarum dalam Sistem Insuran Pekerjaan.
Yang kedua untuk perniagaan melalui penilaian semula strategi. Pemasaran perniagaan makanan yang berasaskan ejen jualan dijangka terjejas di dalam tempoh PKP. Dalam situasi krisis ini, kaedah pemasaran tradisional iaitu pemasaran di pasar raya dan kedai lebih menjamin kelangsungan perniagaan.
Kepentingan kepelbagaian perniagaan. Kepelbagaian perniagaan akan dapat mengurangkan beban dan aliran tunai akibat daripada sebahagian produk yang terjejas akibat krisis ini.
Penilaian semula pelaburan yang kurang berisiko globalisasi. Krisis COVID-19 bersifat globalisasi. Pelaburan ke atas sektor asas seperti pertanian perlu dipertimbangkan sebagai salah satu strategi kepelbagaian perniagaan.
Yang ketiga, untuk kerajaan melalui pelaksanaan reformasi struktur ekonomi. Masalah ekonomi hari ini sebahagian besarnya dipengaruhi struktur ekonomi itu sendiri.
Reformasi ke atas struktur ekonomi lebih berkesan dan sesuai dilaksanakan semasa ekonomi sedang perlahan. Krisis ini akan memperlihat di manakah lompang yang perlu diperbaiki.
Penilaian keberkesanan ke atas alat kawalan dasar ekonomi. Semasa krisis ekonomi, keberkesanan alat kawalan dasar kewangan seperti kadar faedah dan alat kawalan dasar fiskal seperti perbelanjaan kerajaan dapat dinilai. Ini akan memberi panduan kepada kerajaan apakah dasar dan alat kawalan dasar yang efektif di dalam mendepani krisis ini.
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Sumber Rasmi : BERITA HARIAN