GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa perokok mengambil peluang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghentikan tabiat merokok.
Ia selaras dengan amaran dikeluarkan kerajaan mengenai risiko kematian dalam kalangan perokok sekiranya dijangkiti COVID-19 lebih tinggi berbanding bukan perokok.
Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis antimerokok, NV Subbarow, berkata tindakan berhenti merokok bukan hanya untuk kepentingan sendiri, malah berupaya mengurangkan risiko terhadap perokok pasif iaitu orang yang terdedah dengan asap rokok.
Di samping itu, katanya, berhenti merokok juga dapat menjimatkan perbelanjaan harian sepanjang tempoh PKP.
“Menurut pakar perubatan, tabiat merokok dapat meningkatkan risiko kematian sekiranya dijangkiti COVID-19 dan ia bermaksud perokok pasif juga terbabit sama.
“Malah mereka adalah golongan yang berisiko tinggi sejak wabak bermula di Wuhan, China,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Jurnal Perubatan Cina, kes COVID-19 menjadi lebih parah dan boleh menyebabkan kematian sehingga 14 kali lebih tinggi dalam kalangan orang yang mempunyai sejarah merokok berbanding mereka yang tidak merokok.
Manakala individu berusia lebih 50 tahun ke atas yang menghidap penyakit jantung, paru-paru, kanser atau kencing manis juga turut berisiko tinggi sekiranya dijangkiti wabak itu.
Menurut Subbarow, tabiat merokok di rumah pada masa ini juga menjadikan kanak-kanak sebagai kumpulan yang paling terjejas dalam kalangan perokok pasif.
Katanya, asap rokok juga boleh melekat pada pakaian, rambut dan kulit seorang malah partikel beracun daripada asap berkenaan juga boleh bertahan selama enam bulan misalnya, nikotin yang melekit dan mudah melekat pada kusyen, karpet, langsir, dinding atau siling.
“Apabila bahan ini bertindak balas dengan udara atau bahan kimia lain dalam ruangan itu, ia boleh dibebaskan kembali ke persekitaran lalu disedut semula individu yang berada di dalam ruang terbabit.
“Namun CAP bimbang tempoh PKP ini menjadikan perokok meningkatkan tabiat mereka kerana perlu tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa, sekali gus mendatangkan bahaya kepada ahli keluarga,” katanya.

Sumber Rasmi  :  BERITA HARIAN