KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 77 lokasi di seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata inisiatif itu bagi mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada.
“Satu perkara yang menjadi isu adalah kesukaran kita untuk kawal kesesakan di pasar basah pada waktu pagi kerana (rakyat) kurang pilihan di tempat lain dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi kerajaan bersetuju supaya FAMA membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 77 lokasi di setiap negeri dan pusat jualan ini hanya menjual barangan basah semata-mata, tiada penjualan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, antara pusat jualan yang akan dibuka adalah pasar tani terpilih, pasar tani kekal, pusat operasi FAMA, MyFAMA Outlet serta Kompleks Peladang kawasan.
“Walaupun FAMA akan membuka pusat jualan ini, pasar basah dan pasar borong sedia ada tetap beroperasi seperti biasa iaitu bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan asetnya bagi menghantar bekalan makanan dan barang keperluan di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan sedar bahawa di Sabah dan Sarawak, penghantaran makanan asas agak sukar di kawasan pedalaman dan kita menerima aduan daripada penduduk rumah panjang dan sebagainya.
“Jadi, mesyuarat hari ini memutuskan bahawa tentera akan menggunakan aset mereka seperti helikopter dan sebagainya untuk menghantar makanan di kawasan pedalaman,” katanya.
Justeru, beliau berkata rakyat tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

Sumber Rasmi  :  BERITA HARIAN